Sekretariat Pencegahan Rasuah UniSZA
Sunday 18 March 2012
Apakah itu Rasuah?
Rasuah?
Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang - undang dimana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) dari pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak - pihak tersebut. Menurut Badan Pencegah Rasuah terdapat empat kesalahan rasuah yang utama :
- Meminta/Menerima Rasuah
- Menawar/Memberi Rasuah
- Membuat Tuntutan Palsu
- Menyalahgunakan Jawatan/Kedudukan
Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang - undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.
Punca Berlakunya Rasuah
Antara punca berlakunya rasuah ialah :
a) Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa.
Seseorang
itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi
dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk
dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David
Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada
siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak,
ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi
mereka yang lemah keperibadiannya.
b) Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi.
Kepimpinan
yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap
menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.
c) Sosial dan budaya.
Masyarakat
majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang
dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis
hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi
kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama
ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.
d) Modenisasi.
Pembangunan
sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian
akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti
cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang
terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung
sebanyak-banyaknya.
Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor
berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk
memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah
diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan
bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat
menyiapkan projek dan sebagainya.
e) Politik.
Sesetengah
ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat
dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi
pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan
sebagainya.
Kesan-Kesan Rasuah
Perbincangan mengenai rasuah adalah penting
kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu
organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat
mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk
masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai
dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis
kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.
Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana
setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau
tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika
cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah
telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya
hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.
Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini
ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir.
Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi,
pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga
boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara.
seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan
kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan
rasuah yang tidak terbendung.
Langkah-Langkah Mencegah Rasuah
Antara Langkah Mencegah Rasuah Adalah Seperti Berikut :
• Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan Jati diri
Keimanan
dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk
membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama
ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan
rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis
habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka
luas di hadapan mata.
• Memasukkan Bahaya Rasuah Dalam Sistem Pendidikan
Benci
kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan
dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik benci
rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab,
amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang
yang bebas daripada rasuah.
• Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman
Siasatan
dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar
masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak
dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para
pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah
lantaran hukuman berat yang bakal diterima.
• Memudahkan Urusan Menggunakan ICT
Prosedur
diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan
dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang,
proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan supaya tidak
membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur.
Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana
tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan proses.
Sumber :http://www.islam.gov.my
Pembuka Kata
Di sini terletak hakikat sebenar,
Memberi seribu erti di sanubari,
Memberi seribu erti di sanubari,
Di mana kita, jauh atau dekat,
Yang penting semua berkumpul disini.
Yang penting semua berkumpul disini.
- Tujuan blog ini dibuka adalah untuk menjadi tempat untuk para pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk mendapat info tentang isu rasuah.
- Blog ini juga boleh menjadi ruang untuk menyuarakan pendapat tentang isu rasuah yang 'memakan' negara kita pada masa kini.
- Malahan, blog ini juga terbuka kepada semua lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada pelajar universiti.
Subscribe to:
Posts (Atom)